PEKAN - Penganjuran Larian Paya Pahang Tua di Kampung Lamir dijangka lebih meriah selepas penganjuran kali pertama tahun lalu berjaya menarik lebih 700 peserta terdiri daripada pelajar, belia dan masyarakat setempat.

Menariknya, penganjuran yang bakal diadakan pada 28 April depan itu turut membabitkan penambahan kepada enam kategori berbanding tiga kategori pada tahun lalu, selain menyasarkan sebanyak 1,000 penyertaan.

Penghulu Mukim Pahang Tua, Hamdan Mohd Sahal berkata, larian dihoskan Persatuan Belia Kampung Pahang Tua itu meliputi kawasan sawah padi yang menyediakan pemandangan indah menjadikan acara tersebut unik dan mampu menggamit penyertaan menggalakkan.

“Selain menggalakkan penyertaan belia, acara ini juga bertujuan mempromosikan skim paya Pahang Tua kepada masyarakat luar sebagai produk pelancongan.

“Penganjuran ini juga selaras dengan hasrat menjadikan ia sebagai acara berkesinambungan pada setiap tahun dan penyertaannya terbuka kepada seluruh warganegara,” katanya kepada Sinar Harian ketika majlis pelancaran aktiviti itu di MBD, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pe-ramu, Ibrahim Awang Ismail; Pengerusi MBD, Mohamad Shahid Ismail; Pengerusi Ge-rakan Belia 4B Parlimen Pekan, Rahimusaimi Mohd Yunan; Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Pekan, Asmayudim Uyub serta ahli jawatankuasa terbabit.

Penganjuran Larian Paya Pahang Tua 2012 turut mendapat kerjasama Majlis Belia Daerah (MBD), Pejabat Belia dan Sukan daerah, Badan Penyelaras Mukim Pahang Tua dan beberapa persatuan belia di dalam mukim Pahang Tua.

Sementara itu, Ibrahim yang merasmikan pelancaran aktiviti tersebut berkata, sambutan menggalakkan daripada penduduk pada tahun lalu menjadikan acara berkenaan sebagai platform terbaik untuk menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, penyertaan anggota masyarakat dalam aktiviti itu membuka ruang perkenalan sekali gus menghimpunkan mereka dalam suasana harmoni.

“Ia adalah usaha penerapan budaya hidup sihat dan terbukti mendapat sambutan begitu menggalakkan. Ia berjaya menarik lebih 700 penyertaan walaupun pertama kali dianjurkan pada tahun lalu.

“Saya harap semua peserta terbabit lebih menghargai persekitaran mereka dan bersama-sama menjaga kelebihan yang ada demi kebaikan bersama,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai larian itu boleh menghubungi pejabat MBD di talian 09-4226445 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut.

artikel dari : http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/larian-paya-dijangka-meriah-1.34647